Mereka Awesome :)

Wednesday, June 6, 2012

Pentas Kehidupan Dunia..

                      Assalamualaikum....baiklah,hari ini aku hanya ingin mencoret penulisan atau boleh juga aku katakan sebagai nota ringkas aku.Waktu terus berputar pergi.Aku semakin dimamah usia.Semakin matang mungkin.Memikirkan masa hadapan yang masih belum aku tahu apa kesudahannya.Sudah hampir sebulan aku meninggalkan Sarawak Bumi Kenyalang yang aku cintai kerana di sana adalah jiwa aku.Tempat yang sebegitu aku suka bermusafir.Sama seperti tempat-tempat yang pernah aku musafir sebelum ini.Kesunyian yang sentiasa mengisi ruang diri ini aku buang jauh-jauh.Memikirkan banyak lagi yang aku boleh lakukan.Berjauhan dengan rakan-rakan yang aku sayangi membuatkan perasaan ini membuak-buak untuk berjumpa dengan mereka.Aku lenyapkan rasa itu dengan menulis puisi dan berlari di kala petang menjengah samudera.Melihat keadaan kehidupan yang semakin mendesak manusia untuk lebih bekerja keras menyadarkan aku betapa sukarnya untuk menempuhi kehidupan sebagai generasi muda yang akan menerajui takhta negara satu tika nanti.Mungkin ada yang sudah selesa dengan kehidupan yang sentiasa berada di atas roda sebagai istilah yang boleh aku katakan.Tapi bagaimana dengan mereka yang di bawah?yang masih memerlukan seseorang untuk terus memimpin tangan mereka menuju kejayaan bersama-sama?Pernah kalian fikirkan?Kini aku sedar.Bukan mudah kehidupan ini.Tiada apa yang semanis seperti madu di permulaan ceritera,biasanya ceritera akan di mulakan dengan sepahit hempudu dan akhirnya baru akan kita rasa kemanisan madu itu.Aku bukannya seorang pendeta mahupun seniman.Hanya aku seorang remaja yang suka melihat dan terus melihat arus perjalanan manusia-manusia di atas muka bumi.Di mana aku menjelajah.Di mana langkah aku berjalan.Menjelajah ke Sri Lanka dan Indonesia di mana negara yang mempunyai penduduk berlebihan menyadarkan aku tentang kehidupan.Kemiskinan menyebabkan mereka terdesak untuk terus berusaha mencari sesuap nasi untuk diri mereka serta anak-anak mereka.Bayangkan...setiap malam mereka tidur beralaskan kotak coklat di atas permukaan tar jalan raya serta beratapkan bintang dan bulan di malam hari.Ada juga yang tidur di bawah jambatan.Kita??masih tidak bersyukur walaupun sudah beralaskan tilam yang empuk.Bayangkan,kanak-kanak yang masih kecil seperti adik-adik kita sudah keluar dari rumah sebelum mentari melimpah samudera di pagi untuk mencari sesuap nasi..Kita yang sudah remaja masih enak dibuai mimpi.Masih juga melakukan kegiatan seperti merempit dan lain-lain.Bersyukurlah kalian dengan apa yang kalian ada walaupun hanya makan berlaukan nasi dan telur.Walaupun hanya mendiami rumah yang kecil.Ini kerana kita masih mempunyai kehidupan yang jauh lebih baik berbanding mereka yang lain.Cuba kalian renung-renungkan jika ada waktu yang terluang.Duduk sebentar dikala sunyi.Fikirkan secara mendalam.Pesan ku kalian,janganlah kalian mensia-siakan waktu dan peluang yang kalian ada.Sentiasa gunakannya dengan sepenuhnya kerana kehidupan ini tidaklah semudah yang kalian fikirkan.Walaupun kita kecundang,jangan pernah berputus asa kerana di sebalik kegagalan pasti ada sinar kejayaan.Teruskan berusaha kalian.Tiada kejayaan yang datang bergolek-golek tanpa usaha yang jitu dalam diri.Juga jangan lupa,lakukan sesuatu itu kerana Allah s.w.t. dan dengan niat yang betul dan ikhlas.Insyallah keberkatan akan mengiringi kalian.Sampai di sini sahaja coretan serta nota ringkas ku buat kalian.Semoga bertemu lagi di penulisan yang akan datang.Insyallah.Wassalam.

No comments: